SYARAT lebih ketat dikenakan kepada pengembara yang ingin masuk ke Labuan bagi membendung peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 di pulau itu dilanjutkan sehingga 30 Jun ini.
Sebelum ini kerajaan bersetuju mengenakan beberapa sekatan tambahan bagi kemasukan pengembara ke Labuan, bermula 27 Mei hingga 9 Jun.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan pelanjutan sekatan itu dibuat selepas mengambil kira situasi terkini Covid-19 ketika ini di Labuan.
Labuan hari ini merekodkan 106 lagi kes baharu Covid-19.
Sebelum ini kerajaan mengumumkan sekatan tambahan bagi pengembara ke Labuan iaitu wajib menjalani ujian RT PCR Covid-19 tiga hari sebelum memasuki pulau tersebut.
Selain itu kuarantin wajib dikenakan kepada pengembara mengikut tiga kategori:
- Kuarantin 10 hari di rumah bagi penduduk asal Labuan
- Kuarantin 10 hari di rumah/hotel bagi penjawat awam
- Kuarantin 14 hari di hotel bagi pelawat asing dari luar negara

