KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil berat dan kesal berhubung isu penjualan produk rokok elektronik (vape) dihadapan sebuah sekolah yang tular baru-baru ini.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, berkata KKM turut mendapat maklumat mengenai aktiviti mempromosi, pengiklanan dan penjualan produk berkenaan yang menyerupai permainan kanak-kanak atau ‘Tiger Pod’ yang kini semakin berleluasa.

Beliau berkata, perkara itu sangat membimbangkan ibu-bapa dan guru kerana ia direka sehingga menarik perhatian kanak-kanak dan remaja untuk menggunakannya.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah produk ini menggunakan cecair bernikotin, yang penjualannya adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952.
“Pengedaran dan pembekalan sebarang persediaan mengandungi nikotin memerlukan pendaftaran dan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Darah dan Komersil 1984, Akta Jualan Dadah 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Zaliha berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok juga sedang dipinda dan telah dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Parlimen pada Ogos 2022 bagi memasukkan peruntukan terhadap larangan mempromosi cecair vape, namun tertangguh hingga kini.
“Penyelesaian terhadap penjualan produk yang boleh membahayakan kesihatan generasi muda seperti ‘Tiger Pod’ ini perlu kepada kerjasama pelbagai kementerian dan agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi penguatkuasaan lain.
“Saya juga ingin menegaskan supaya pengusaha-pengusaha vape mengambil tanggungjawab dalam menghasilkan produk mereka. Ibu bapa juga diminta memantau aktiviti anak-anak supaya tidak terjebak dalam amalan yang boleh merosakkan kesihatan,” katanya.
Menurutnya, KKM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), universiti awam dan swasta serta badan-badan bukan kerajaan dalam aktiviti advokasi dan pencegahan.
“Ini bagi memastikan pendidikan berterusan berkaitan bahaya merokok dapat disebarkan secara meluas kepada semua lapisan masyarakat,” katanya. – Malaysiapost

