Dakwa diugut lapor ke Lembaga Disiplin kerana kritik Presiden Umno

0
1

SEORANG pemimpin Pemuda Umno mendakwa diugut untuk dilapor ke Lembaga Disiplin Umno oleh pihak tertentu kerana mengkritik Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Ahli Jawatankuasa Mahasiswa dan Pendidikan Pemuda Umno, Syed Mohd Syed Nasir, beliau dimaklumkan oleh rakan-rakan Pemuda daripada beberapa bahagian di Johor berkenaan kritikannya terhadap Presiden parti dan tindakan beliau untuk mengekalkan kelangsungan Umno.

“Saya diberitahu supaya berhati-hati kerana ada sebilangan ketua-ketua dan Penolong Setiausaha Pemuda Umno bahagian di Johor sedang memproses serta giat melaporkan semua kritikan saya kepada Lembaga Disiplin.

“Saya hanya orang muda biasa dan ahli Pemuda yang tiada jawatan di peringkat cawangan mahupun bahagian.

“Apatah lagi, Presiden Umno sudah meletakkan komitmen bahawa beliau menerima dengan hati terbuka terhadap apa jua kritikan radikal dalam kalangan ahli terutama orang muda,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Syed Mohd berkata, rakyat akan menilai tindakan pemimpin Pemuda sebegini kerana terlalu menjaga diri demi bertanding pada pemilihan akan datang. 

Katanya, kumpulan terbabit takut digantung oleh Presiden Umno kerana bersuara menyampaikan pandangan bertentangan.

Sehubungan itu katanya, beliau akan mendedahkan bahagian mana yang membuat gerakan untuk menutup kebebasan bersuara ahli akar umbi.

“Mereka ini adalah orang yang sama menganiaya Zool Amali, mantan Ketua Pemuda Umno Seremban, sehingga beliau meletakkan jawatan dan kini menyertai PAS.

“Persoalannya, sampai bila suara kita sebagai anak muda perlu disekat begini, dihina pandangan dan diugut supaya dipecat dan digantung, sedangkan kritikan ini demi kebaikan parti dan mengembalikan perjuangan Umno yang asal.

“Sekiranya benar Lembaga Disiplin Umno mahu menyekat kebebasan saya sebagai ahli parti melalui laporan yang dibuat, maka benarlah demokrasi dalam Umno sudah mati,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here