PAS mengajak umat Islam di negara ini bersolidariti bagi membantah penghinaan terhadap Islam susulan insiden membakar al-Quran di Stockholm, Sweden, baru-baru ini.
Ketua Dewan Ulamak PAS, Datuk Ahmad Yahaya berkata bantahan bermula dengan perarakan dari Menara Berkembar Petronas (KLCC) ke Kedutaan Sweden, Jumaat ini.
“Sewajarnya kerajaan menyuarakan amaran tegas ini melalui jalan diplomatik yang ada. Kita tidak boleh berkompromi dengan sebarang insiden provokatif apatah lagi menghina kesucian agama Islam.
“Saya juga menyeru umat Islam supaya turun bersolidariti bersama-sama membantah penghinaan terhadap agama Islam ini pada Jumaat ini, 27 Januari di KLCC berarak ke kedutaan Sweden.
“Sudah sampai masanya umat Islam menyuarakan bantahan keras terhadap kerajaan Sweden ini.
“Saya juga ingin menggesa kerajaan supaya mengusulkan suatu mesyuarat tergempar OIC (pertubuhan kerjasama Islam) bagi membincangkan tindakan susulan lebih meluas melibatkan negara-negara Islam lain.
“Setiap ruang diplomatik perlu dioptimum bagi membantah tindakan tersebut dengan tegas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun Ahmad tidak menyatakan acara itu akan bermula pada jam berapa, namun kebiasaannya demonstrasi PAS berlangsung selepas selesai solat Jumaat.
Pada 21 Januari lalu, ahli politik sayap kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan bertindak provokasi dengan membakar naskah al-Quran.
Pada masa sama, Ahmad mengulangi gesaan agar kerajaan memanggil kedutaan Sweden.
Beliau menyifatkan insiden itu seolah-olah mendapat restu kerajaan Sweden atas nama kebebasan, sedangkan ia merupakan provokatif dan menghina Islam.
“Tindakan membakar Al-Quran oleh ahli politik berdarah Sweden-Denmark, Rasmus Paludan bukanlah kali pertama berlaku.
“Tahun lalu tindakan provokasi yang sama telah dilakukan sehingga mendorong kebangkitan daripada umat Islam,” katanya.
Malaysia melalui kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk keras tindakan Islamofobia ahli politik itu dan menyifatkan provokasi besar kepada umat Islam di seluruh dunia. – Malaysiapost

