Pendakwaan ‘mengarut’, Shahrir mungkin ambil tindakan saman

0
2

VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Samad akan mempertimbangkan tindakan selanjutnya berhubung tuduhan ‘mengarut’ yang dihadapinya ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah sebelum ini.

Menurutnya, tindakan yang sudah dimulakan dengan laporan polis terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas akan disusuli dengan tindakan lain termasuk saman sivil.

Shahrir berkata, beberapa ahli keluarganya membangkitkan perkara itu kerana merasakan beliau telah dimalukan dengan pertuduhan berkenaan.

Katanya, mereka bertanya sama ada beliau mendapat sebarang ganti berhubung kes yang dihadapi itu.

“Tak ada kerana ini kes jenayah. Saya kena buat saman sivil terhadap Kerajaan atas pendakwaan berniat jahat.

“Saya mulakan dengan laporan polis terhadap Tommy Thomas. Lepas ini, saya akan bincang dengan peguam-peguam saya. Tunggu je lah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, beliau juga ditanya berapa ramai yang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan yang sama dihadapinya.

“Empat, saya jawab. Datuk Seri Ahmad Maslan. Tan Sri Shafee Abdullah. Saya. Datin Seri Rosmah Mansor.

“Tiga kami sudah selesai. Kes Rosmah bulan Mei,” katanya.

Beliau berkata, kes membabitkan Ahmad Maslan dan Shafee selesai sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), manakala kes dihadapinya selesai dua minggu lalu.

“Saya, selepas (PRU-15). Datin Seri Rosmah sedang pertikaikan soal hakim. Bulan Mei ni,” katanya.

Shahrir berkata, beliau turut ditanya kenapa hanya empat individu sahaja yang didakwa sedangkan ramai yang menerima dana daripada Datuk Seri Najib Razak.

“Tapi agaknya kami ni Kerajaan PH hendak jadikan sebagai contoh. Saya dan Ahmad Maslan dari kumpulan 80 yang terima kompaun.

“Ada juga senarai yang bukan ahli parti Umno atau Barisan Nasional (BN). Ada juga yang sudah melompat awal keluar dari Umno,” jelasnya.

Pada 5 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan, Shahrir daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan wang RM1 juta yang diterima daripada Najib.

Terdahulu bekas Pengerusi Felda itu didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here