Masyarakat dunia perlu bersama perangi Islamofobia – Zambry

0
2

MASYARAKAT antarabangsa digesa untuk bekerjasama dalam memerangi sentimen Islamofobia dan menggalakkan hubungan harmoni komuniti global yang pelbagai.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata Malaysia membuat gesaan itu susulan tindakan Islamofobik pemimpin ekstremis parti politik Sweden-Denmark, Rasmus Paludan, yang membakar senaskah al-Quran di Stockholm, kelmarin.

Beliau berkata, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya perkara itu dan berpandangan tindakan kerajaan Sweden untuk tidak mengambil sebarang tindakan menghentikan aktiviti melampau itu, tidak boleh diterima sama sekali.

Zambry menegaskan, tindakan itu boleh memberi kesan yang serius terhadap hubungan antara Sweden dan umat Islam di seluruh dunia.

“Malaysia menggesa kerajaan Sweden untuk mengambil tindakan segera terhadap pelaku perbuatan terkutuk ini dan mengambil langkah yang serius untuk memerangi sentimen Islamofobia yang semakin membimbangkan di Sweden.

“Tindakan keji ini jelas merupakan serangan secara terang-terangan terhadap Islam dan umat Islam di seluruh dunia, yang telah melampaui batas moral dan norma hak kebebasan bersuara.

“Ketaksuban, perkauman dan penodaan keji terhadap kitab suci itu, tanpa mengira agama, adalah tidak boleh diterima dan wajar dikutuk,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Malaysia mengulangi bahawa kebebasan bersuara tidak boleh disamakan dengan kebebasan menghina dan ia bertentangan dengan prinsip sejagat dalam menghormati agama.

“Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan komuniti antarabangsa bagi mencegah dan menghapuskan segala bentuk keganasan dan kebencian terhadap Islam, termasuk sentimen islamofobia dan ekstremisme,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan pendirian sama dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofibia oleh pemimpin ekstremis parti politik sayap kanan Sweden-Denmark itu.

Anwar turut menggesa kerajaan Sweden, mengenakan tindakan segera terhadap pelaku yang bertanggungjawab melakukan perbuatan terkutuk itu di samping mengambil langkah drastik terhadap peningkatan Islamophobia di Sweden. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here