KETUA Penerangan Umno, Isham Jalil menegaskan perbuatan menggunakan nama Allah SWT untuk merasuah pengundi dalam pilihan raya adalah tindakan yang keji.
Beliau menerusi kenyataan di Facebook, turut meminta Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjelaskan niat parti itu memberi duit ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
“Cuba cerita sikit apakah niat PN beri duit kepada pengundi sewaktu pilihan raya itu, Hamzah?
“Dan kamu kata kamu ada bukti kukuh yang PN kononnya tidak rasuah pengundi semasa pilihan raya lepas. Jika benar, nyatakanlah bukti kukuh tersebut supaya rakyat boleh menilai dan untuk mengelak fitnah jika kamu benar.
“Dan jelaskan sekali berkenaan banyak video yang tular dan laporan polis yang dibuat berkenaan orang-orang PN beri duit kepada pengundi dan meminta penerima duit bersumpah atas nama Allah supaya undi PAS,” katanya dalam hantaran itu malam ini.
Hamzah hari ini dilaporkan berkata perkara yang lebih utama perlu diambil kira berhubung pemberian wang tunai kepada pengundi adalah niat di sebaliknya.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataaan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mempertahankan pemberian wang tunai ketika PRU15 sebagai sedekah.
“Saya tidak begitu pasti tentang (kenyataan Hadi) itu. Tetapi, maksudnya di sini apabila kita bercakap tentang memberi wang, niat adalah lebih penting,” katanya.
Sementara itu, Isham juga meminta pemimpin PN supaya tidak menunggang agama demi kepentingan parti untuk meraih undi meskipun haram.
“Menggunakan nama Allah untuk merasuah pengundi adalah sesuatu yang keji. Dan kemudian menipu untuk menutup amalan rasuah tersebut bukanlah sesuatu strategi yang baik, ia umpama menggali lubang yang lebih dalam untuk tanam diri sendiri.
“Usah memperguna dan menunggang agama untuk menghalalkan yang haram. Yang haram tetap haram. Allah maha mengetahui apa yang kamu dan rakan-rakan kamu buat. Bertaubatlah,” katanya.
Abdul Hadi semalam menyifatkan pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan kerana ia hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam.
Katanya, undang-undang telah menetapkan bahawa setiap calon dan wakil calon tidak boleh memberi wang ketika berkempen. – Malaysiapost

