LAZIMNYA acara makan besar sempena Tahun Baharu Cina cukup sinonim berlangsung di rumah atau di restoran dan hotel, bagi masyarakat Tionghua di negara ini.
Namun begitu, sedikit kelainan ditampilkan sebuah keluarga apabila meraikan makan besar mereka di sebuah restoran mamak.
Perkongsian di Facebook Ulasan Apek Cina atau nama sebenarnya Tai Zee How, memuat naik gambar keluarganya sedang berada di meja sebuah restoran mamak bagi meraikan makan besar sempena Tahun Baharu Cina.
“Makan malam besar di warung mamak. Tak perlu tempah, tak perlu sesak, tak perlu tahan jerit ‘yum seng’, makanan sedap. Makan malam besar Tionghoa adalah untuk penyatuan keluarga sebelum Tahun Baharu Cina.
“Ini Malaysia, warisi kebudayaan Tionghoa pun boleh campurkan unsur-unsur ‘ke-Malaysia-an’. Bukan semua kena ikut Tanah Besar China. Semoga kalian sihat dan bahagia,” katanya dalam hantaran itu.
Hantaran tersebut mendapat pelbagai reaksi warga maya termasuk memuji pilihannya yang menyambut makan besar secara sederhana.
“Lagi jimat, tujuan utama untuk berkumpulan bersama sekeluarga kan,” kata Siti Komariah Shafei.
“Ini sangat happening, pertama kali saya lihat. Mummy pun tidak perlu penat-penat masak dan kemas dapur. Ini cara terbaik,” sokong Norilah Abdul Karim.
Dalam masa sama, ada yang berpendapat perayaan tradisi adalah istimewa berbanding hari biasa maka perlu disambut dengan penuh meriah.
“Kalau aku makan Hari Raya di kedai mamak tak sanggup. Setahun sekali je pun. Tradisi kita kena jaga,” ujar Mohf Yusoff.
“Tak sama. Ini hari istimewa. Makanan hari istimewa bukan senang ada. Sama juga dengan orang Melayu makanan di Hari raya tidak sama dengan hari biasa. Setahun sekali mah,” kata Moreeza Mohamad. – Malaysiapost.

