Kit Siang tuduh Muhyiddin punca ranking Malaysia merosot dalam perangi rasuah

0
2

VETERAN DAP, Lim Kit Siang menyalahkan kerajaan era pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyebabkan usaha Malaysia memerangi rasuah terbantut. 

Beliau berkata, Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TICPI) menunjukkan Malaysia berada di landasan terbaik memerangi rasuah sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan pada tahun 2018.

“Kerajaan PH telah memberi hadiah Tahun Baru Cina yang terbaik pada Januari 2020 apabila Malaysia mencatatkan kedudukan di tempat ke-51 dengan markah 53/100 dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International.

“Mencatatkan peningkatan 10 anak tangga dan enam markah: kedudukan terbaik negara dalam sejarah 25 tahun.

“Kerajaan PH yang pertama terbukti menjadi satu kegagalan walaupun sekiranya diberi ruang selama lima tahun dan bukannya ditumbangkan secara tidak sah selepas 22 bulan pada Februari 2020, kerajaan ini mungkin dapat mencatat prestasi yang baik,” katanya dalam catatan di blognya, hari ini. 

Bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Malaysia berpotensi menunjukkan prestasi lebih baik sekiranya ‘Langkah Sheraton’ yang diketuai Muhyiddin pada Februari 2020 tidak berlaku sekali gus memberi tempoh lima tahun kepada kerajaan PH mentadbir negara. 

“Sekiranya PH terus menjadi kerajaan untuk sepenuh penggal sehingga 2023, dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri untuk setengah penggal kedua, Malaysia akan berada dalam kalangan 40 negara terbaik dunia dari segi integriti awam.

“Sekiranya PH terus mentadbir sehingga ke hujung dekad, Malaysia akan berada dalam kalangan 30 negara terbaik dunia,” katanya. 

Kit Siang menegaskan, rekod buruk Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri era Kerajaan Perikatan Nasional (PN) antara faktor mengapa beliau ditolak dilantik menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen. 

“Ada sebab keempat mengapa Muhyiddin tidak menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen, rekod buruknya dalam menentang rasuah semasa menjadi Perdana Menteri “pintu belakang” yang pertama. 

“Saya telah berikan tiga sebab mengapa Muhyiddin Yassin tidak menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen walaupun dia masih belum berputus asa dengan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri lagi.

“Dia merupakan Perdana Menteri pintu belakang pertama Malaysia yang tidak berani menguji keabsahannya di Parlimen melalui undi kepercayaan.

“Penggantungan sidang Parlimen secara haram dan tidak sah yang dibuatnya.
Kegagalannya untuk mengendalikan wabak Covid-19 menyebabkan Malaysia berhadapan dengan gelombang penularan terpanjang di dunia,” katanya. 

Mengulas mengenai TICPI sejak dua tahun kebelakangan ini, Kit Siang berkata, konspirasi politik Langkah Sheraton telah menumbangkan kerajaan PH telah menyebabkan kedudukan negara dalam  TICPI merosot. 

“Dalam TICPI 2020, kita jatuh enam anak tangga, dari tempat ke-51 ke tempat ke-57 dengan 51 markah.

“TICPI 2021 mencatatkan prestasi yang lebih buruk, di mana Malaysia mencatatkan kemerosotan lima anak tangga lagi, jatuh ke tempat ke-62 dengan markah 48/100.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pastinya sedang risau dengan penerbitan TICPI 2022, di mana kita dijangka berada dalam kedudukan rendah dengan markah dan kedudukan carta paling buruk dalam sejarah 28 penerbitan Indeks ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here