DUA mangsa rentung dalam kebakaran sebuah lori treler membawa kontena di Lebuh Raya Utara Selatan (Arah Selatan) berhampiran susur masuk ke Plaza Tol Port Dickson, dikenal pasti pasangan suami isteri.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, berkata kedua-dua mangsa dikenali Mazlan Molot, 48, beralamat di Taman Putra Damai, Petaling Jaya dan Fauziah Uyop, 40-an.
“Siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila treler jenis Volvo dinaiki mereka yang membawa muatan biji plastik bergerak dari arah Klang menuju Senawang.
“Apabila tiba di lokasi, kenderaan dipandu mangsa disyaki hilang kawalan dan terbabas ke lorong paling kanan lalu merempuh tembok tengah penghadang lebuh raya.
“Pelanggaran itu menyebabkan lori treler terlibat mengalami kebakaran menyeluruh di bahagian badan dan kepala kenderaan. Kebakaran berjaya dipadamkan oleh pihak bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nanda berkata, kedua-dua mangsa iaitu pemandu dan penumpang lori treler yang tersepit mengalami kecederaan terbakar rentung keseluruhan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kedua-dua mayat dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. – Malaysiapost

