DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau adalah Perdana Menteri untuk semua negeri, dan layanan kepada setiap negeri adalah setara dan saksama.
Perkara itu ditegaskannya ketika menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan Negeri Terengganu di Dewan Senat, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), hari ini.
Beliau turut memaklumkan akan bertemu dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar setelah suhu politik dileraikan.

“Insha-Allah, saya akan ketemu Kerajaan Negeri Terengganu setelah suhu politik itu dileraikan.
“Saya turut memberitahu perkara tersebut kepada Tuanku Sultan Terengganu dalam sesi menghadap pagi tadi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau turut menyeru penjawat awam agar dimaknai prinsip ‘democratic accountability’ dalam mendirikan kebijakan yang baik untuk rakyat.
“Kita sebagai pembuat dan pelaksana dasar tidak harus bersikap ‘complacent’ dan mesti buat sedaya upaya untuk memungkinkan perubahan.

“Setelah menyemak fail-fail di Kementerian Kewangan setakat ini, saya jumpa banyak kecurangan yang saya anggap keterlaluan.
“Namun, urusan untuk menyiasat bukan urusan saya. Urusan saya adalah menetapkan dasar dan menegakkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban,” katanya.
Menurutnya, hal itu disentuh dalam majlis pertemuan hari ini kerana mahu penjawat awam faham bahawa ketelanjuran berkenaan tidak harus berterusan.

“Sebagai contoh, projek tebatan banjir adalah hal mendesak dan ia akan diluluskan tanpa tender bagi memudah dan menyegerakan projek tersebut kerana ia melibatkan keselamatan dan kepentingan rakyat.
“Saya mulakan budaya kesederhanaan dari atas kerana saya fikir tidak adil untuk saya sergah pejabat daerah atau negeri tetapi di peringkat Persekutuan budaya itu kekal bobrok,” katanya.
Beliau turut menegaskan, kehadirannya ke Terengganu hari ini bukan untuk mencerca sesiapa, tetapi untuk berpakat demi kepentingan rakyat.
“Saya amat berharap kita dapat menghormati pilihan yang telah dibuat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu dan hentikan sentimen politik yang keterlaluan dan merosakkan,” katanya. – Malaysiapost

