PADAH membenarkan rakan memegang dan bergambar dengan senjata api ketika sedang bertugas, seorang anggota polis kini disiasat selepas gambar berkenaan tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata pihaknya mengesan gambar memaparkan anggota berpakaian seragam polis dengan orang awam itu tular di media sosial Twitter menerusi satu akaun bernama evvok.
Menurutnya, siasatan awal mendapati anggota polis itu bertugas di Balai Polis Taman Johor Jaya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, manakala lelaki yang memegang senjata api jenis HK-MP5 adalah rakan anggota polis berkenaan.
“Gambar berkenaan diambil pada 11 Januari 2023 (semalam) pada jam 2.43 pagi di hadapan Balai Polis Taman Johor Jaya oleh seorang lagi rakan mereka yang juga orang awam.
“Ketiga-tiga mereka berusia 25 tahun dan tujuan gambar diambil adalah sebagai kenangan antara mereka, namun telah dimuatnaik ke media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Sohaimi menegaskan tindakan anggota berkenaan membenarkan orang awam memegang senjata api ketika bertugas adalah satu kesalahan dan melanggar tatakelakuan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) IPD Seri Alam.
“Tindakan boleh diambil mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya. – Malaysiapost

