Perhimpunan Agung Umno bermula hari ini

0
2

PERHIMPUNAN Agung Umno (PAU) 2022, pertama kali pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan Umno dan Barisan Nasional (BN) kalah teruk dalam sejarah, bermula hari ini.

Seramai 5,523 perwakilan bakal ‘berkampung’ selama empat hari di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara sehingga Sabtu ini.

Jumlah itu melibatkan seramai 2,648 perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno, Wanita (950), Pemuda (967) dan Puteri (958).

Perhimpunan dimulakan dengan taklimat Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara tertutup pada jam 2 petang ini.

Ia disusuli perasmian ketiga-tiga sayap parti di Dewan Merdeka pada jam 8 malam ini.

Perasmian dijadual disempurnakan oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Esok, Perhimpunan Agung Wanita Umno dijadual berlangsung di Dewan Tun Razak WTC, manakala Perhimpunan Agung Pemuda di Dewan Merdeka dan Perhimpunan Agung Puteri di Dewan Tun Dr Ismail.

Perhimpunan Agung penuh membuka tirai pada 13 Januari, dimulakan dengan acara tradisi menaikkan bendera Umno, Sang Saka Bangsa pada jam 8 pagi di Plaza Merdeka.

Ahmad Zahid Hamid dijangka menyampaikan ucapan dasar Presiden kira-kira jam 10 pagi selepas pembentangan penyata kewangan.

Selepas itu, perhimpunan agung khas bakal diadakan bagi meminda Perlembagaan parti untuk diselaraskan dengan peruntukan Akta Anti Lompat Parti dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada hari terakhir, perwakilan dijadual membahaskan usul ucapan dasar Presiden sebelum menangguhkan persidangan pada pukul 6.30 petang.

Dalam pada itu, sebanyak 68 agensi media melibatkan 50 agensi tempatan dan 18 agensi antarabangsa dengan 517 petugas telah berdaftar ke PAU 2022.

Mereka bakal ditempatkan di Laman Media di Bilik Mawar, Aras 2, WTC yang bakal dilancarkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Antara yang dijangka menjadi tumpuan pada PAU kali ini ialah ‘post mortem’ prestasi buruk Umno dan BN pada PRU15 lalu.

Pentas PAU 2022 juga dijangka menjadi medan bagi pemimpin Umno khususnya Presiden memberi penjelasan berhubung kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam membentuk kerajaan perpaduan dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, turut dijangka menjadi perdebatan ialah sama ada dua jawatan tertinggi Umno wajar dipertandingkan pada pemilihan parti yang dijangka diadakan pertengahan tahun ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here