HARIMAU Malaya gagal mara ke perlawanan akhir Piala AFF 2022 apabila tewas 0-3 dengan Thailand, pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Thammasat, malam ini.
Malaysia tewas secara agregat 1-3, sekali gus membolehkan skuad bimbingan Alexandre Polking bertemu Vietnam bagi perebutan gelaran ‘Raja ASEAN’.
Pasukan Harimau Malaya gagal mengulangi corak pertahanan kemas seperti ditunjukkan menerusi kemenangan 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Pada aksi terbabit, Thailand mendominasi sebahagian besar permainan di babak pertama dengan lebih banyak menyerang sementara Malaysia sekadar menunggu untuk mendapatkan ruang bagi melakukan serangan balas pantas.

Gajah Perang berjaya memperolehi gol pertama pada minit ke-18 menerusi jaringan Teerasil Dangda.
Separuh masa pertama berakhir dengan Thailand mengatasi Malaysia 1-0.
Sembilan minit separuh masa kedua bermula, Bordin Phala merobek gawang Harimau Malaya dengan menjaringkan gol kedua Gajah Perang.
Adisak Kraison yang bakal menyarung jersi Terengganu FC menambah luka Harimau Malaya dengan menjaringkan gol ketiga Thailand pada minit ke-70.
Thailand bakal bertemua Vietnam pada perlawanan akhir pada 13 dan 16 Januari nanti. – Malaysiapost

