TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan dakwaan jahat, tidak berasas yang berterusan dilemparkan terhadap dirinya dan Bersatu sebagai rekaan serta pembohongan maha dahsyat.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ia sebagai usaha pembunuhan karakter terhadap beliau dan PN yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, beliau percaya tindakan dilakukan gabungan terbabit kerana gentar menghadapi kemaraan PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang melibatkan enam buah negeri dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Saya tidak menolak kemungkinan tohmahan penyelewengan RM600 bilion direka supaya tindakan undang-undang terhadap Bersatu dapat diambil dengan tujuan untuk melemahkan jentera pentadbiran parti sehingga sukar menghadapi PRN akan datang,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berharap perkara terbabit tidak benar dan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan secara telus serta adil.
“Saya yakin siasatan SPRM setakat ini akan mendapati tohmahan terdapat RM4.5 bilion dalam akaun Bersatu atau saya adalah palsu. Saya tidak pernah mengambil walau satu sen pun wang yang bukan hak saya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Bersatu akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam menjalankan siasatan.
Muhyiddin bagaimanapun mengakui Bersatu memiliki dana hasil sumbangan pihak yang menyokong perjuangan parti itu.
Jelasnya, akaun parti itu juga diurus secara telus, yang mana setiap penerimaan dan perbelanjaan direkod, diaudit dan dibentangkan pada Perhimpunan Agung Tahunan mengikut perlembagaan dan Akta Pertubuhan 1966.
“Sumbangan dana pilihan raya juga dimasukkan ke dalam akaun parti, walaupun negara masih belum mempunyai undang-undang pendanaan politik.
“Saya percaya setiap sumbangan diterima Bersatu tidak menyalahi mana-mana undang-undang atau peraturan yang sedang berkuat kuasa,” katanya.
Mengenai perbelanjaan pilihan raya PN yang dikatakan mewah, bekas Perdana Menteri itu berkata, bahan kempen parti itu sudah dilakukan dua tahun lebih awal sebagai langkah penjimatan.
“Sebab itulah PN membuat keputusan tidak menukar bendera dan logo digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) walaupun ada cadangan sedemikian. Ini kerana kita telah menyimpan stok lebih awal.
“Jika hendak dicetak semula, semua stok yang ada akan dibazirkan, selain perlu menanggung kos berkali ganda lebih tinggi untuk mencetak bendera dan ‘merchandise’ yang baharu. PN tiada dana untuk tujuan itu.
“Jadi, janganlah reka cerita palsu dan menabur fitnah kononnya Bersatu mempunyai dana berbilion ringgit semata-mata untuk mencemarkan imej Bersatu dan PN,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan motif PH-BN termasuk mengaitkannya dengan penahanan Timbalan Ketua Bersatu Segambut bagi siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan dana RM92.5 bilion.
“Jawapannya mudah. PH-BN takut dengan bayang-bayang sendiri. Mereka gelisah melihat PN mendapat sokongan sekurang-kurangnya 62 peratus masyarakat Melayu dan Bumiputera pada PRU15,” katanya.
Sementara itu, mengenai dakwaan kutipan komisen tiga hingga lima peratus daripada perbelanjaan fiskal ketika menerajui kerajaan terdahulu, Muhyiddin berkata ia juga adalah rekaan semata-mata.
“Bagaimana saya boleh kutip komisen daripada perbelanjaan ini? Adakah 10.6 juta rakyat yang menerima BPN (Bantuan Prihatin Nasional) memberi komisen kepada saya? Adakah 2.96 juta pekerja yang menerima subsidi upah memberi komisen kepada saya? Tentu sekali tidak.
“Jadi, kalau mereka tidak memberi komisen kepada saya seperti didakwa, dari mana datangnya RM4.5 bilion untuk Bersatu yang kononnya diseleweng daripada dana RM92.5 bilion itu?
“Ini jelas satu cerita rekaan yang karut dan merepek. Hakikatnya, tidak ada dana RM4.5 bilion dalam akaun Bersatu atau akaun saya,” katanya. – Malaysiapost

