DATUK Seri Mahdzir Khalid menafikan terlibat dengan ‘Langkah London’ yang didakwa untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan walaupun secara kebetulan beliau berada di United Kingdom (UK) ketika itu.
Pengakuan Naib Presiden Umno itu sekali gus mengesahkan beliau tidak terlibat dengan desas-desus langkah tersebut untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Saya nafi kerana tidak ada pun, memang saya pergi London tapi saya tidak jumpa pun dengan sesiapa dan orang-orang yang disebut dalam dakwaan itu.
“Malah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pun sudah buat kenyataan, dia tidak ada di London dan berada di Dubai. Jadi itu pun (Langkah London) tidak betul,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Umno, Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, hari ini.
Mahdzir berkata demikian mengulas pertanyaan sama ada beliau terlibat dengan gerakan yang didakwa untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
Menjelaskan mengenainya, bekas Ahli Parlimen Padang Terap itu mengakui sudah lali dengan dakwaan mana-mana pihak terhadap dirinya.
“Ke mana sahaja saya pergi ada sahaja ‘langkah’, saya ada di London baru-baru ini, jadi saya fikir jauh nak pergi sampai ke London.
“Dulu Langkah Kajang sahaja, tidak betul sebenarnya, jadi saya fikir sebagai antara orang lama dalam Umno, saya pun telah bersetuju dengan parti untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan dan saya berada dalam mesyuarat di mana keputusan dibuat untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan dengan PH.
“Mengapa pula ada sekumpulan dikaitkan dengan nama saya pergi ke London adakah mesyuarat dan berusaha untuk mencari jalan untuk menjatuhkan kerajaan,” katanya.
Akhir tahun lalu, sebuah portal berita mendedahkan Langkah London yang memaparkan beberapa gambar individu politik negara mengadakan pertemuan tertutup bersama Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di London.
Gambar tersebut menimbulkan spekulasi kononnya terdapat rancangan pihak tertentu untuk menjatuhkan Anwar dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini merupakan Timbalan Perdana Menteri.
Seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut diheret dalam serangan itu mendakwa menjadi mangsa fitnah pihak yang ‘tidak mengenal dosa’ apabila dikaitkan dengan Langkah London.
Ismail yang juga bekas Perdana Menteri menjelaskan, sejak berakhirnya pilihan raya umum, beliau lebih banyak berdiam diri untuk mengelak menjadi mangsa sebarang fitnah atau spekulasi. -Malaysiapost

