Beruang didakwa korek kubur, makan mayat di Gua Musang

0
1

SEEKOR beruang dewasa didakwa mengorek kubur dan memakan mayat seorang penduduk di Kampung Dakoh, Pos Balar, Kelantan.

Ia sekali gus mengundang kebimbangan lebih 100 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Gua Musang.

Pada kejadian 27 Disember lalu, seorang penduduk mendakwa beruang itu menggali kubur, Amek Along, 48, lalu memakan sebahagian mayat wanita berkenaan.

Suami Amek, Mazlan Aluij, 50, berkata dia menyedari kejadian kubur isterinya digali haiwan liar itu kira-kira 9.20 pagi.

Katanya, Amek meninggal pada 1 Disember lalu akibat strok dan dikebumikan di perkuburan Kampung Dakoh.

“Jarak rumah dengan tanah perkuburan hanya 300 meter. Sudah jadi rutin kami melawat dan membersihkan kubur, tetapi sebelum ini tidak ada apa mencurigakan.

“Namun, pada 26 Disember lalu, saya bersama anak lelaki datang untuk membersihkan kubur seperti biasa dan melihat ada kesan tapak kaki serta najis beruang di kawasan kubur isteri.

“Keesokannya saya bersama penduduk kampung ke kubur memeriksa kawasan sekitar dan kami dapati mayat isteri sudah dimakan beruang dan haiwan liar terbabit masih berkeliaran di kawasan perkuburan. Mengikut adat kami, mayat itu tak dapat dialihkan dan hanya dibiarkan di situ,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Mazlan berkata, bimbang kejadian sama berulang, ancaman keselamatan terhadap penduduk kampung, dia membuat laporan di Balai Polis Gua Musang.

“Beruang terbabit juga dilihat berkeliaran di belakang rumah saya dan hampir menyerang anjing peliharaan.

“Kami juga sudah buat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here