TIADA perubahan kerajaan Sabah seperti spekulasi yang tersebar sejak semalam.
Perkembangan itu disahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjelaskan keadaan di Negeri di Bawah Bayu setakat ini tenang dan tiada perkembangan lanjut mengenainya.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, beliau telah menghubungi beberapa pemimpin Sabah termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor serta Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Beliau juga telah berbincang dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Look Siew Fook, berhubung perkara itu.
“Mengenai Sabah, saya sudah hubungi semua. Hajiji, Shafie, Bung Moktar. Saya juga berbincang dengan Zahid, Anthony Loke dan nampaknya, ia berada dalam keadaan tenang, sementara ini.
“Saya tidak fikir tidak ada apa-apa perkembangan itu (perubahan kerajaan negeri),” katanya memetik laporan Berita Harian.
Terdahulu beliau menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Aman di ibu negara.
Semalam, media melaporkan, cubaan menggulingkan Hajiji gagal selepas dikatakan ada beberapa Adun merencana gerakan untuk menukar Hajiji.
Bagaimanapun hari ini, 11 Adun Umno dikatakan enggan memberi sokongan kepada Warisan, sebaliknya kekal menyokong Hajiji untuk terus mengetuai kerajaan negeri. – Malaysiapost

