DATUK Seri Shahidan Kassim mempersoal keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno menggantung Umno Bahagian Arau kerana dikatakan melanggar perlembagaan parti.
Bekas Ketua Umno Bahagian Arau itu menegaskan, pemecatan beliau dari Umno tidak sewajarnya menyebabkan bahagian yang pernah diterajuinya turut digantung.
“Yang dipecat dari Umno Shahidan Kassim tetapi Umno Arau yang digantung.
“Saya akan terus beri pembelaan kepada rakyat Perlis dan Arau. Sesungguhnya rezeki, mati, hidup adalah hak Allah SWT,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Malam tadi mesyuarat MKT Umno menggantung Umno Bahagian Arau selepas melanggar perlembagaan parti.
Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil berkata, MKT Umno akan melantik ketua pentadbir bagi bahagian itu secepat mungkin.
Sebelum ini Shahidan dan isterinya yang juga Ketua Wanita Umno bahagian itu, Datin Seri Shamsiah Yassin dilucutkan keahlian Umno selepas melanggar perlembagaan parti. – Malaysiapost

