SEKURANG-KURANGNYA 11 daripada 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno dikatakan tidak bersetuju usaha ‘menggulingkan’ kerajaan Sabah dipimpin Datuk Seri Hajiji Noor.
Difahamkan mereka enggan memberi sokongan kepada Warisan, sebaliknya kekal menyokong kepimpinan Ketua Menteri itu untuk terus mengetuai kerajaan negeri.
Menurut Berita Harian, sokongan pemimpin terbabit kepada Hajiji dizahirkan pada pertemuan di kediaman Ketua Menteri malam tadi, selepas perjumpaan semua pemimpin Umno petang semalam.
Mereka ialah Datuk Yakub Khan (Karambunai) yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah; Datuk Andi Muhamad Suryady Bandy (Tanjung Batu); Datuk Mohd Hamsan Ag Supain (Sungai Sibuga); Datuk James Ratib (Sugut); Datuk Harun Durabi (Bengkoka); Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin) dan Datuk Raimie Unggi (Adun Dilantik).
Adun lain ialah Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat); Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit); Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Suhaimi Nasir (ADUN Dilantik).
Keengganan mereka menyokong kerjasama dengan Warisan, dikatakan antara punca sidang media Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dipercayai berkaitan pembentukan kerajaan baharu yang dijadualkan jam 4.30 petang semalam, ditangguhkan.
Berdasarkan khabar angin semalam, sidang media itu dijangka turut disertai Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Selain itu, pendirian tujuh Adun Pakatan Harapan (PH) Sabah yang menyatakan tidak memberi apa-apa akuan bersumpah (SD) kepada mana-mana pihak, turut dipercayai menjejaskan rancangan kerjasama berkenaan.
Ketujuh-tujuh mereka sebelum ini turut menyatakan sokongan kepada Hajiji untuk terus menerajui kerajaan negeri sehingga penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang berakhir.
Kerjasama Warisan dan Umno memerlukan sokongan parti lain, khususnya PH bagi mencukupkan jumlah kerusi dalam cubaan untuk menukar kerajaan negeri.
Ketika ini, Warisan memiliki 19 kerusi, manakala Umno BN 17 kerusi menjadikan jumlah kedua-duanya 36 kerusi daripada 79 kerusi yang ada sekarang termasuk enam kerusi ADUN Dilantik.
Jumlah itu tidak mencukupi tanpa sokongan parti lain, khususnya PH yang mempunyai tujuh kerusi DUN.
Sementara itu, GRS ketika ini mempunyai 29 kerusi, masing-masing 15 kerusi bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), tujuh dari Parti Bersatu Sabah (PBS), enam dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan satu dari Parti Maju Sabah (SAPP).
Selain itu, GRS turut disokong seorang ADUN Bebas dan seorang ADUN Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).
Dengan sokongan tujuh Adun PH, GRS memiliki kekuatan 38 kerusi atau 49 kerusi jika termasuk sokongan 11 ADUN Umno. – Malaysiapost

