UMNO yang sepatutnya menyelamatkan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang daripada terus hanyut dengan dunia hingga lupa akhirat, kata bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Lokman Noor Adam.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Marang itu yang mengatakan Pas nak selamatkan Umno daripada hanyut dan ditelan DAP.
Lokman turut mempersoalkan dimana logiknya Abdul Hadi ingin menyelamatkan Umno kerana sebelum ini pemimpin Pas berkenaan mengkhianati hubungan yang dijalinkan dengan memilih Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
“Saya tak faham macam mana dia kata nak selamatkan Umno. Bila kita beri kepercayaan dengan memaafkan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Apa yang mereka buat bila Muhyiddin menggunakan badan kehakiman dan Jabatan Peguam Negara untuk mengenakan pemimpin Umno. Apa yang Pas buat untuk menyelamatkan keadaan dan perpaduan ummah.
“Sebaliknya Pas bersekongkol dengan Muhyiddin dan membiarkan pemimpin Umno dizalimi dan dianiaya oleh Muhyiddin,” katanya di Facebook.
Menurutnya, apa bukti yang menunjukkan Pas ingin selamatkan Umno, sedangkan Umno antara yang awal bekerjasama dengan parti itu termasuk menandatangani Muafakat Nasional (MN).
“Tiba-tiba secara senyap Pas bersama dengan Bersatu mewujudkan PN iaitu gabungan politik tanpa maklumkan kepada Umno,” katanya.
Beliau turut meminta Abdul Hadi menjelaskan bagaimana Umno akan ditelan DAP hingga perlu diselamatkan oleh Pas.
“Kalau kata DAP nak telan Umno, bermakna DAP nak bertanding di kerusi-kerusi Umno. Tetapi DAP tidak bertanding di kerusi Umno bertanding, yang nak bertanding dan telah bertanding menentang Umno adalah Pas dan Bersatu.
“Walaupun dah jalinkan hubungan lebih awal dengan Pas, tetapi disebabkan Muhyiddin ketika itu Perdana Menteri ada kuasa dan boleh beri jawatan menteri dan royalti minyak serta jawatan Duta Besar ke Timur Tengah, dia pilih untuk bersama dengan Muhyiddin,” katanya.
Lokman berkata, keadaan itu jelas menunjukkan Pas lebih memilih dunia.
“Pas pilih dunia berbanding ukhwah Islamiyyah antara Umno dengan Pas yang sudah terjalin membabitkan dua parti Islam terbesar di Malaysia dengan Umno ada 4.2 juta ahli dan Pas ada sejuta lebih ahli.
“Apabila dua ini telah bersatu, tiba-tiba Umno dikhianati oleh pemimpin Pas yang menubuhkan PN secara senyap-senyap. Jadi mana datang logiknya Presiden Pas katakan dia nak menyelamatkan Umno yang hanyut,” katanya.
Beliau berkata, selain itu pemimpin-pemimpin Pas yang ada dalam kerajaan ketika pentadbiran Muhyiddin juga tidak memberi sebarang kenyataan ketika Umno dibuli oleh Bersatu.
“Namun ketika PN kalah di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sabah kita pujuk Pas untuk kembali bersama, tetapi Abdul Hadi tetap menyatakan kesetiaan kepada Muhyiddin.
“Tapi sekarang ini bukan main lagi kata macam-macam kononnya nak selamatkan Umno daripada hanyut dan sebagainya. Yang hanyut dengan harta dan takhta ini ialah pemimpin Pas, bukan semua hanya segelintir sahaja,” katanya.
Lokman juga mendakwa Pas kini telah sebati dengan rasuah dan salah guna kuasa serta menjadi parti yang menyemarakkan rasuah dan merosakkan anak-anak muda.
“Sepatutnya Umno yang selamatkan Pas dari hanyut dan sepatutnya pemimpin-pemimpin Umno yang menyelamatkan Abdul Hadi daripada terus nampak dunia sahaja hingga lupa bab akhirat,” katanya. – Malaysiapost

