KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sudah memberikan bantuan awal kepada mangsa yang terbabit dalam kejadian kebakaran yang mengakibatkan dua beradik rentung di Kampung Simpang Tiga, Gombak, awal pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, membabitkan tiga rumah dengan jumlah lapan orang mangsa.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, berkata kementeriannya memberikan bantuan awal dalam bentuk sumbangan barang keperluan bencana kepada mangsa-mangsa yang terbabit.
“KPWKM kini sedang dalam proses mengenalpasti bantuan bersesuaian untuk diberikan kepada mangsa-mangsa yang terbabit.
“Pusat pemindahan sementara (PPS) juga telah dibuka di Balai Rayau Kampung Simpang Tiga, Gombak,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga menzahirkan rasa dukacita dengan apa yang berlaku terhadap dua beradik berusia 10 dan tujuh tahun dalam kejadian berkenaan.
Menurutnya, kedua-duanya dikatakan terkunci dalam rumah kediaman mereka yang terbakar sehingga menyebabkan kematian.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal kejadian itu dipercayai berpunca dari lintas pintas.

“Berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2021, ibu bapa atau penjaga yang mengabaikan anak-anak tanpa pengawasan yang sewajarnya boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 33 (1) Akta Kanak-Kanak.
“Kes sedang disiasat oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM,” katanya.
Nancy turut menasihati ibu bapa dan penjaga agar sentiasa menjaga, mengawasi dan tidak mengabaikan anak-anak.
“Jiran tetangga serta komuniti setempat juga perlu melaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekiranya terdapat kes kanak-kanak yang ditinggalkan tanpa pengawasan serta diabaikan,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi semalam, Nur Syaza Alfisya Muhammad Fauzan, 10 dan adik lelakinya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan, 7, ditemui rentung dalam sebuah bilik di rumah mereka. – Malaysiapost

