Inspektor didakwa rogol remaja, tiada siapa kebal undang-undang – Azalina

0
2

MENTERI Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said memandang serius berhubung kes rogol bawah umur melibatkan remaja berusia 16 tahun yang dilaporkan baru-baru ini.

Beliau berkata, tiada sesiapa yang kebal daripada tindakan undang-undang termasuk inspektor polis yang didakwa telah merogol gadis berkenaan.

“Tiada sesiapa pun yang mengatasi undang-undang,” katanya menerusi Twitter.

Azalina turut berkongsi garis panduan berkaitan prosedur khusus untuk mengendalikan saksi kanak-kanak, susulan dakwaan remaja berkenaan yang dirogol inspektor polis ketika memberi keterangan di sebuah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis di Kedah, Rabu lalu.

“Saya memandang serius kes ini dan ingin tekankan terdapat prosedur spesifik untuk kendalikan saksi kanak-kanak, iaitu Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007 dan Garis Panduan Khas untuk Mengendalikan Kes Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang inspektor ditahan selepas seorang remaja membuat laporan mendakwa dirogol pegawai polis berusia 30-an itu ketika berada di pejabatnya di sebuah IPD di Kedah kira-kira 6.30 petang Rabu lalu.

Sumber dipetik akhbar itu berkata, mangsa pada mulanya dipanggil inspektor itu ke IPD untuk membantu siasatan kes rogol membabitkannya yang dikatakan dilakukan bapa tiri remaja terbabit.

Katanya, unit forensik polis yang menyiasat lokasi kejadian menemui beberapa kesan dipercayai air mani pada cadar serta sarung bantal dalam bilik itu.

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan penahanan pegawai itu, tetapi enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here