DATUK Seri Ramesh Rao memohon maaf secara terbuka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas segala keterlanjuran kata-kata dan kebiadapannya terhadap Perdana Menteri itu.
Ramesh yang juga Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah antara individu yang lantang mengkritik Anwar sebelum ini.
“Setelah meneliti hala tuju Kerajaan Perpaduan ini, saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada Anwar kerana keterlanjuran kata-kata dan kebiadaban saya terhadapnya pada masa lalu.
“Saya langsung tak terfikir kebijaksanaan Anwar dalam bagaimana dia nak bina semula negara ini. Saya memang cukup terharu melihat perancangan yang dia telah sediakan untuk Malaysia.
“Terbukti sejak menjadi Perdana Menteri, ringgit semakin kukuh, pelabur mula masuk, dunia memuji Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya memetik laporan Malaysiakini.
Video permohonan maaf itu disiarkan di saluran Youtube Minda Prihatin.
Malah, Ramesh turut menyifatkan Anwar sebagai ‘anugerah tuhan’ dan berkata negara kerugian kerana beliau tidak menjadi Perdana Menteri lebih awal.
Beliau juga menggesa rakan-rakannya yang sebelum ini menentang Anwar agar mengubah pendirian mereka, serta menyalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad atas ‘kebencian’ mereka terhadap Anwar dan DAP.
“Mahathirlah yang menghasut kami untuk membenci Anwar dan DAP.
“Tapi hari ini, apabila kebenaran terbongkar, sebagai manusia saya harus memohon maaf kepada Anwar. I’m sorry, sir,” katanya lagi.
Ramesh mula mendapat perhatian ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) yang sering membuat laporan polis terhadap pengkritik kerajaan.
Beliau juga terlibat mendakwa Anwar melakukan liwat pada 2020, apabila mengaku telah memujuk individu yang didakwa menjadi mangsa untuk membuat akuan berkanun (SD) berkenaan dakwaan itu. – Malaysiapost

