
TIADA pelantikan Ketua Melaka yang baharu pada 3 Januari ini seperti didakwa pihak tertentu.
Setiausaha Sulit kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, Farhan Abd Rahim yang berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana tiada istiadat angkat sumpah jawatan Ketua Menteri Melaka yang baharu pada tarikh tersebut.
Malah, Farhan turut mengesahkan pihaknya tidak menerima apa-apa permohonan peletakan jawatan atau surat daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang sebelum ini dikatakan sudah diserahkan pada awal bulan ini.
“Tun Mohd Ali akan mengadakan lawatan kerja Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) ke Sri Lanka pada 1 hingga 7 Januari depan, jadi tak mungkin istiadat angkat sumpah Ketua Menteri baharu berlaku pada 3 Januari seperti yang tular ketika ini.
“Lagi pun, pihak kami tidak menerima apa-apa maklumat atau surat letak jawatan daripada Datuk Seri Sulaiman, perkara itu hanya berlegar di media sosial sahaja.
“Berdasarkan jadual harian Tun untuk tempoh seminggu ini, tidak ada apa-apa pertemuan rasmi dengan mana-mana pemimpin negeri setakat ini,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.
Suhu politik Melaka kembali hangat sejak dua minggu ini apabila ada pihak mendakwa jawatan Ketua Menteri bakal bertukar tangan awal bulan depan.
Malah, Sulaiman turut dikatakan sudah menyerahkan surat perletakan jawatan kepada Yang di-Pertua Negeri serta Presiden Umno bagi memberi laluan penggantinya mengangkat sumpah jawatan yang didakwa diadakan pada 3 Januari ini. -Malaysiapost
