Anwar patut abaikan Dr Mahathir – Kit Siang

0
2

DATUK Seri Anwar Ibrahim patut mengabaikan Tun Dr Mahathir Mohamad dan menghayati pengajaran paling penting dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan sebelum ini.

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata sebaliknya Anwar perlu melaksanakan sebanyak mungkin “reformasi” institusi kerana kerajaan yang ada ini tidak semestinya akan bertahan selama lima tahun.

Katanya, Anwar patut melaksanakan janji-janji yang telah dibuat selepas dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10 iaitu tidak akan berkompromi dalam isu berkenaan tadbir urus yang baik, usaha membanteras rasuah, kebebasan badan kehakiman dan kebajikan rakyat.

“Anwar perlu sentiasa sedar yang terdapat kuasa-kuasa politik sedang cuba untuk menamatkan riwayat kerajaannya seawal mungkin.

“Anwar telah melakukan perkara tepat apabila menguji kepercayaan Ahli-ahli Parlimen terhadapnya sebagai Perdana Menteri dalam sidang dua hari minggu lepas.

“Beliau patut menjadikan sidang Dewan Rakyat pada Februari 2023 sebagai sidang yang paling penting dan bersejarah dengan melaksanakan beberapa reformasi institusi,” katanya hari ini.

Menurut Kit Siang, reformasi itu antara lain memulakan proses untuk menghentikan kemerosotan negara dalam enam dekad lepas untuk mengembalikan tempat Malaysia sebagai negara majmuk hebat bertaraf dunia.

Katanya, Dr Mahathir telah terlepas peluang untuk berbuat demikian dan Anwar tidak boleh mengulangi kesilapan sebegini.

“Walaupun kerajaan PH pimpinan Mahathir sebelum ini ditumbangkan secara tidak sah melalui konspirasi politik Langkah Sheraton, Mahathir sendiri tidak boleh mencuci tangannya daripada bertanggungjawab terhadap konspirasi ini.

“Anwar patut menimbangkan bagaimana sidang Parlimen pada Februari 2023 ini dapat dijadikan sebagai suatu sidang yang paling bersejarah negara.

“Transparency International (TI) akan menerbitkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 pada bulan hadapan,” katanya.

Tambahnya, sudah terlalu lambat untuk kerajaan berbuat apa-apa bagi menambah baik Laporan Indeks Persepsi Rasuah 2022 untuk Malaysia.

Namun katanya, tetapi kerajaan perlu melakukan usaha terbaik bagi memastikan laporan TI-CPI 2023 untuk Malaysia menjadi TI-CPI yang terbaik negara sejak dari penerbitan laporan ini 25 tahun yang lepas pada tahun 1995.

“Malah, rakyat Malaysia perlulah bersedia untuk menyaksikan laporan TI-CPI terburuk dalam masa sebulan lagi.

“Amat mengecewakan apabila konspirasi politik Langkah Sheraton yang tidak sah pada Februari 2020 yang telah menumbangkan kerajaan PH selepas hanya 22 bulan ini juga telah menamatkan usaha Malaysia untuk menjadi salah satu dari 30 negara terbaik dunia dari segi integriti awam.

“Adakah terdapatnya apa-apa rancangan integriti awam baharu untuk meletakkan Malaysia dalam kalangan 30 negara terbaik dunia dalam tahun 2030 atau 2040?,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here