Ahli perniagaan Malaysia dihukum penjara 36 tahun manipulasi saham

0
2

AHLI perniagaan Malaysia, John Soh Chee Wen yang didakwa sebagai dalang memanipulasi pasaran saham terbesar di Singapura dijatuhi hukuman penjara 36 tahun.

Menurut laporan The Straits Times, teman wanitanya, Quah Su-Ling turut dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun.

Mereka berdua didapati bersalah masing-masing dengan 180 pertuduhan dan 169 pertuduhan pada Mei lalu.

Skim penipuan melibatkan 187 akaun dagangan sekuriti yang dipegang dengan 20 institusi kewangan dan 60 individu dan syarikat, disifatkan sebagai kes manipulasi saham terbesar di Singapura di mana mereka menghapuskan hampir SGD8 bilion (RM26.3 bilion) dalam nilai pasaran.

Kedua-dua mereka didakwa memanipulasi saham Kumpulan Blumont, Asiasons Capital dan LionGold Corp atau BAL antara tempoh Ogos 2012 dan Oktober 2013.

Apabila saham BAL jatuh pada 4 Oktober 2013, kira-kira SGD8 bilion nilai pasaran musnah.

Chee Wen dan Su-Ling sedang merayu hukuman berkenaan.

Hukuman yang dijatuhkan hari ini adalah penutup selepas hampir 200 hari perbicaraan, dengan 349 tuduhan berjaya.

Dalam perbicaraan November lalu, pihak pendakwaan memohon hukuman penjara 40 tahun untuk Chee Wen, manakala Su-Ling pula 19 tahun setengah.

The Straits Times sebelum ini melaporkan pihak pendakwaan sebagai berkata, skim Soh melibatkan lebih 50 individu, termasuk ketua pegawai eksekutif dan individu bernilai tinggi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here