Realiti tersembunyi pembangunan 5G negara

0
2

Ishak Hisham

SUDAH mula keraguan dan permainan persepsi politik dikenakan kepada Digital Nasional Berhad (DNB) sebagai SPV kerajaan untuk membangunkan infrastruktur dan rangkaian 5G.

Pasti juga penggiat kapitalis akan mula mengambil kesempatan untuk menangguk di air yang keruh.

1. Model SWN: Telco Tak boleh Bangunkan Infrastruktur Sendiri?

Betul. Tujuan asal Kerajaan memilih SWN dan intervensi ini berlaku adalah untuk penjimatan kos sebanyak RM 30 bilion yang tidak perlu ditanggung Telco. Apatah lagi Telco belum bertanggungjawab untuk pembangunan 4G menyeluruh pada harga yang murah sebelum 2021. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula nanti berciciran.

Malahan kerajaan masih menyuntik dana melalui Jalinan Digital Negara (JENDELA) kepada Telco untuk sempurnakan perkhidmatan 4G. Di dalam inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) RM 9.4 Bilion telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan semata mata untuk membantu Telco membangunkan 4G dalam Fasa 1 rancangan JENDELA. Dalam Laporan Suku Tahun Ketiga (2022) JENDELA, capaian 4G masih pada takat 96 peratus Itu pun di kawasan bandar perkhidmatannya masih tidak stabil.

2. Tidak senang kepada Telco?

Mungkin pemain industri yang tidak senang disebabkan tidak ada monopoli swasta. Intervensi kerajaan dalam model perkongsian ini menyebabkan industri 5G tidak boleh didagangkan mengikut keuntungan mutlak dalam bentuk pengagihan saham dan pemilikan penuh syarikat. Tidak senang untuk Telco bukan bermakna tidak senang untuk pengguna. Kerajaan akhirnya bertolak ansur dengan model pemilikan ekuiti 30 (DNB):70 (TELCO) untuk ‘menyenangkan’ Telco. Tetapi…

3. DNB tak tepati jadual?

Telco masih tidak berpuas hati untuk berkongsi pemilikan sesama sendiri, kerana monopoli tidak dapat berlaku bila enam syarikat utama berkongsi pemilikan majoriti. Ini menyukarkan mana-mana syarikat tunggal untuk mempunyai milikan lebih dari separuh (51.1 peratus) supaya menguntungkan pihak mereka dalam sebarang pembuatan keputusan.

Terlalu lama tempoh penangguhan pada peringkat Telco yang berlaku disebabkan Telco tidak bersetuju dengan penstrukturan kerajaan. Maka pengagihan spektrum tidak boleh sewenang-wenangnya dilepaskan kepada semua kerana ia melibatkan peningkatan kos operasi.

Sebaliknya, pelaksanaan rangkaian 5G kini lebih awal dari yang dijadualkan dan bakal menjangkau 40 peratus liputan di kawasan berpenduduk (COPA) di seluruh negara menjelang Disember 2022 serta berada di landasan untuk mencapai komitmen 80 peratus COPA pada 2024 atau lebih cepat. Rangkaian tersebut bakal mencapai 14 juta penduduk di lokasi rangkaian yang telah ditetapkan dan melebihi 30 juta penduduk dalam tempoh dua tahun akan datang.

4. Harga Berat Sebelah?

Berat sebelah kepada siapa? Kesemua syarikat telekomunikasi membayar harga pengagihan spektrum pada harga yang sama. DNB mengagihkan spektrum sahaja, Telco sendiri yang akan menentukan harga piawai untuk mereka caj kepada pelanggan.

Malah, harga 5G pada sukatan isipadu (volume) adalah lebih murah berbanding 4G.

Telco tetap menikmati harga borong semasa 5G kurang daripada 20 sen setiap gigabait (GB) perlu dikekalkan, walaupun berlaku perubahan kepada struktur Digital Nasional Bhd (DNB). Secara purata pula, pengguna menikmati manfaat pengurangan harga dari konsep SWN apabila hanya perlu membayar RM 1.05 per GB untuk 5G berbanding RM 1.96 per GB dalam akses 4G.

Mungkin berat sebelah yang dimaksudkan adalah keuntungan yang lebih kepada pengguna.

5. Pembinaan Setakat 2022

Buat masa ini, rangkaian 5G Malaysia telah meliputi hampir keseluruhan Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Selangor, selain kawasan-kawasan utama di Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan serta sebahagian daripada Melaka, Perak, Kelantan, Sabah dan Sarawak. 40 peratus COPA akan dicapai dengan sekitar 3,500 tapak berbanding 4,018 tapak yang dirancang sebelum ini. Pengurangan kiraan tapak tersebut adalah berpunca daripada masalah rantaian bekalan pada awal tahun ini, dan kelewatan dalam mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan terutamanya di Selangor dan Sarawak.

Sebahagian besar masalah ini telahpun selesai dan rangkaian DNB akan terus dilaksanakan secara progresif pada 2023 sebagaimana yang dirancang. Bagi mengatasi kelewatan tersebut dan mencapai 40 peratus COPA, DNB telah mengubah hala pelaksanaan ke negeri-negeri yang sebelum ini dijadualkan pelaksanaannya pada tahun 2023 dan seterusnya.

6. 5G Lambat? Nasib baik Telco dah sediakan liputan? Ada yang Tak Kena?

Setakat ini, lima daripada enam Operator Rangkaian Mudah Alih (MNO) di Malaysia, yang secara kolektif mempunyai lebih daripada 20 juta pelanggan – Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM), U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd (YES) – telah mula menyediakan perkhidmatan runcit 5G kepada pengguna akhir mereka, selepas menandatangani Perjanjian Akses 5G masing-masing dengan DNB pada 31 Oktober 2022.

Walau bagaimanapun, pelanggan Maxis Bhd masih belum dapat mengakses perkhidmatan 5G buat masa ini sementara menunggu kelulusan daripada para pemegang saham untuk melaksanakan Perjanjian Akses 5G yang dijangka akan berlangsung sekitar Januari 2023.

Kelewatan pengguna menerima akses 5G bukan sahaja bergantung kepada penyediaan infrastruktur. Pertikaian dan persetujuan antara Telco untuk menerima Reference Access Offer (RAO) juga menjadi faktor penangguhan. Misalnya pengguna Maxis tidak akan menerima akses 5G sebelum 2023. Telco juga TIDAK menyediakan liputan sendiri, perlu menyediakan perkhidmatan melalui pengagihan spektrum.

Jika ada yang tidak kena berkenaan akses 5G pengguna, sudah pastilah yang tidak kena itu pada mata keuntungan yang diperoleh Telco, setelah sekian lama mengenakan caj tinggi pada pengguna, tetapi masih lagi mahukan keuntungan lebih dari produk 5G, walaupun sentiasa mendapat bantuan dan penambahan dana dari kerajaan.

Penulis mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam pembangunan negara dan kerajaan

(Artikel ini disiarkan tanpa suntingan dan tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here