Tanah runtuh: Sukarelawan dilarang berada dilokasi

0
2
Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani

SUKARELAWAN dilarang memasuki lokasi tanah runtuh serta tidak dibenarkan membantu pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa di Jalan Batang Kali-Genting Highlands.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata operasi SAR di lokasi tanah runtuh itu hanya dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM).

“Selepas ini mana-mana sukarelawan tidak dibenarkan sama sekali berada dalam lokasi dan membantu bomba dalam mengesan mangsa yang terperangkap dalam runtuhan tanah.

“Hanya JBPM yang mempunyai kuasa dan akan menentukan pihak atau agensi yag boleh terlibat dan membantu mereka dalam operasi mencari dan menyelamat,” katanya kepada media ketika meninjau lokasi tersebut, hari ini.

Acryl Sani berkata, lokasi tersebut tidak sesuai untuk orang awam tampil menghulurkan bantuan kerana faktor keselamatan dan mengelak pelan operasi SAR terganggu.

Sementara itu, beliau berkata siasatan terhadap pengurus  tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, akan dilakukan selepas operasi SAR itu berakhir.

Katanya, tumpuan utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini ialah usaha mencari dan menyelamat baki sembilan mangsa yang masih hilang dalam insiden berkenaan.

Beliau berkata, untuk peringkat awal, pihak polis akan mengambil keterangan daripada pengurus lelaki terbabit.

“Sepatutnya, dia tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, hari ini. Namun, dia memohon maaf kerana belum hadir disebabkan IPD terletak jauh dari lokasi dia berada, dan akan tiba dalam masa terdekat.

“Siasatan kes ini juga akan dilaksanakan selepas segala maklumat diperoleh,” ujarnya lagi.

Sementara itu, katanya, beliau sudah mengarahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, untuk mengetuai siasatan berkaitan kejadian itu.

“Siasatan akan dipantau oleh KJSJ Selangor dengan mengikut segala peruntukan undang-undang yang bersesuaian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengarahkan pihak polis terutama Ketua Polis Daerah Hulu Selangor selaku Komander Operasi SAR itu supaya sentiasa mengemas kini setiap perkembangan di lokasi kejadian kepada pihak media.

Jumlah mangsa tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Batang Kali-Genting Highland, telah meningkat kepada 24 orang.

Satu lagi mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) jam 4.35 petang tadi, manakala baki sembilan mangsa masih dikesan.

Media melaporkan seramai 94 mangsa terbabit dalam kejadian tanah runtuh pada jam 2.24 pagi, semalam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here