Kan dah kena angkut…

0
2

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengingatkan peniaga agar prihatin dengan keselesaan pihak lain dalam mencari rezeki.

Menerusi hantaran di Facebook rasminya, DBKL berkongsi mengenai pasukan penguatkuasanya menyita kerusi dan meja lipat yang menghalang laluan pejalan kaki berbumbung, di kawasan Wangsa Maju.

Operasi itu dijalankan susulan tular di media sosial semalam mengenai tindakan peniaga meletak meja dan kerusi di laluan tersebut sehingga mengganggu laluan pejalan kaki.

Menurut pengendali Facebook DBKL, pihaknya sedar keperluan sebahagian anggota masyarakat untuk mencari rezeki melalui aktiviti penjajaan.

Ia dibuktikan menerusi inisiatif Wilayah Bebas Niaga dan  Program Usahawan Anak Muda Kota yang diperkenalkan sebelum ni.

“Haa… kan dah kena angkut. Hal penjaja tepi jalan ni, Min (admin) akui kena hati-hati bila nak ulas. Isu sensitif pada sesetengah pihak.

“Tapi tu lah.. dalam kita nak mencari rezeki kena prihatin dengan keselesaan pihak lain juga, macam pengguna jalan raya dan pejalan kaki.

“Janganlah disebabkan kita berniaga di situ, timbul masalah kesesakan lalu lintas, pejalan kaki tak dapat nak gunakan laluan berbumbung yang disediakan untuk mereka dan sebagainya.

“Kalau dah banyak sangat aduan diterima, DBKL kena ambil tindakan sewajarnya seperti yang berlaku semalam di laluan berbumbung LRT Wangsa Maju,” katanya.

Sehubungan itu DBKL menasihatkan penjaja di Kuala Lumpur agar mematuhi syarat yang ditetapkan dalam menjalankan aktiviti menjaja.

“Kalau peraturan dipatuhi semua lapisan masyarakat akan gembira. Sama-sama nak hidup selesa kan?,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here