Pemimpin Bersatu pelawa Annuar Musa sertai PN

0
2

AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman mempelawa Tan Sri Annuar Musa untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) demi meneruskan perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Dr Muhammad Faiz berkata, hijrah bukanlah perkara asing kerana ia satu fitrah biasa bagi umat Islam.

“Hijrah itu fitrah kita sebagai Muslim Tan Sri Annuar Musa. Jom hijrah ke PN pula demi meneruskan perjuangan ‘Alif Baa Taa’. Ikhlas dari ambo (saya), orang muda yang baharu dalam politik,” katanya.

Semalam Malaysiapost melaporkan, Annuar yang juga Ketua Umno Ketereh menjadi antara pemimpin Umno bahagian yang dipecat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, malam tadi.

Menurut sumber Umno, mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju untuk memecat seorang ketua bahagian dan dua Ketua wanita Umno bahagian.

Dalam hantaran berasingan, Dr Muhammad Faiz menyifatkan tindakan Umno memecat pemimpinnya hanya akan meranapkan parti itu sendiri yang ketika ini hanya ‘nyawa-nyawa ikan’.

“Ya pecat lagi, silakan. Dah lah puak kamu ‘nyawa-nyawa ikan’ hingga melutut ke pangkuan DAP pasca PRU15, kamu kecilkan dan ranapkan lagi dengan buang orang sendiri. Bagus,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here