GLOPEC lebar sayap ke peringkat antarabangsa dalam e-dagang

0
2

GLOBAL Entrepreneur One Stop Centre (GLOPEC) melebarkan sayap perniagaan ke peringkat antarabangsa melalui platform e-dagang dengan memeterai perjanjian kerjasama dengan OMalaysia United Kingdom dan HYT Cross Borders China.

Perjanjian kerjasama itu merupakan hasil respons positif terhadap ujian pasaran yang dijalankan di United Kingdom (UK) dan China, menunjukkan minat tinggi terhadap barangan keluaran Sabah.

Majlis menandatangani perjanjian kerjasama di antara GLOPEC dan OMalaysia United Kingdom dan HYT Cross Borders China telah diadakan di Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu, Sabah.

Majlis ini merupakan manifestasi inisiatif kerjasama yang merupakan sebahagian daripada pelan perniagaan strategik GLOPEC untuk tahun 2023.

Suku pertama 2023 akan menyaksikan GLOPEC melebarkan sayap perniagaannya ke United Kingdom, China, Korea dan Timur Tengah.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif OMalaysia United Kingdom, Simon Suresh berkata, pihaknya akan meluaskan kempen dalam talian dengan menawarkan produk Malaysia kepada 100 kedai di UK tahun hadapan.

“Saya amat teruja dengan pelancaran Projek P100 pada bulan Januari 2023. OMalaysia dan GLOPEC merupakan salah satu dari peserta penting di dalam kempen ini,” katanya.

Ditubuhkan pada tahun 2016, OMalaysia pada mulanya dikenali sebagai Halal Street United Kingdom, menubuhkan satu platform pasaran dalam talian untuk penjual Malaysia memasarkan produk mereka ke pasaran United Kingdom.

Halal Street United Kingdom kemudiannya melalui proses penjenamaan semula kepada OMalaysia pada tahun 2020. Pada hari ini, OMalaysia merupakan sebuah jenama terkemuka di United Kingdom yang mewakili barangan buatan Malaysia yang terbaik, unik dan bermutu tinggi.

Sementara itu, Pengarah Urusan HYT Cross Borders China, Datuk Danny Tan berkata, China merupakan sebuah pasaran yang amat luas dan dengan pelbagai barangan yang ditawarkan oleh GLOPEC.

“Saya pasti HYT dan GLOPEC yang diketuai oleh Azmi Aziz, akan dapat menguasai pasaran China tidak lama lagi,” katanya.

HYT Cross Borders China telah ditubuhkan pada tahun 2017 dengan matlamat untuk membantu peniaga Malaysia meluaskan perniagaan mereka ke China.

Sejak itu, HYT telah membuka peluang kepada banyak jenama barang Malaysia untuk berurusan dengan 788 juta pengguna dalam talian China, melalui platform e-dagang rentas sempadannya.

Pengarah Glopec Sdn Bhd, Azmi Aziz berkata, pihaknya berterima kasih kepada usahawan yang telah memberikan kerjasama yang baik dalam membantu GLOPEC mencapai matlamat utama membantu usahawan dan komuniti tempatan meluaskan pasaran ke persada antarabangsa.

“Saya amat gembira kerana dapat menyaksikan segala hasil kerja dan penat lelah pasukan GLOPEC dan rakan kerja strategik antarabangsanya kini mendapat respons yang baik daripada para usahawan dan rakan kerjasama kita,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here