PENGUNDI muda lebih terpengaruh melalui media sosial yang sering memburukkan pemimpin Umno tanpa mendalami isu sebenar, antara penyebab kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Ketua Komunikasi BN, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata demikian setelah mengkaji beberapa aspek di mana BN mendapat majoriti undian terendah dalam kalangan pengundi muda.
“Trend melalui keputusan PRU15 kebanyakan pengundi muda Melayu ini beralih arah daripada menyokong BN kepada Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) kerana mereka lihat momokan dibuat parti lain terhadap pemimpin BN.
“Ia seperti Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mereka ini korup, rasuah, penyamun dan sebagainya.
“Akhirnya momokan ini masuk dalam kepala mereka sedangkan pertuduhan yang dikenakan ke atas pemimpin Umno ini ialah pertuduhan ciptaan seperti yang saya sebut sebelum ini dicipta oleh Tun Mahathir (Mohamad) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Mereka menuduh pemimpin Umno ini dengan pertuduhan yang belum pun lagi siasatannya jelas,”katanya dalam siaran langsung di media sosial miliknya, semalam.
Menurut Jamal lagi, trend seperti itu telah menjadi satu kepercayaan kepada pengundi muda sekali gus membuat keputusan untuk mengundi berdasarkan pengaruh media sosial tanpa mengambil tahu khidmat pemimpin Umno di kawasan mereka mengundi.
“Mereka berada di luar kawasan (tempat mengundi), lihat perkara ini dan bincang sesama mereka dan akhirnya balik ke kawasan, mengundi mengikut apa yang mereka lihat di media sosial.
“Sedangkan pemimpin Umno yang berkhidmat pada keluarga mereka dan masyarakat setempat di kawasan sedia ada, langsung mereka tidak pedulikan,” kata Jamal. – Malaysiapost

