Anwar serah pada Kabinet tubuh RCI perbelanjaan RM600 bilion PN

0
1

KABINET belum membincangkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara mengenai penubuhan RCI itu akan diserahkan kepada Jemaah Menteri untuk dinilai.

“Ia belum dibawa dan dibincang oleh Jemaah Menteri, saya serah kepada rakan-rakan Jemaah Menteri untuk menilai hal demikian.

“Tapi setakat saya tahu dan diberi makluman, ada beberapa pelanggaran serius terutama bila luluskan projek, perolehan terlalu banyak, ‘mark up’ tinggi, parti-parti tertentu belanja tinggi menunjukkan keupayaan mereka berbelanja luar biasa,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas Kabinet di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, secara peribadi beliau tidak cenderung untuk menumpukan hal atau perkara lama sebaliknya mahu menumpukan kepada pengurusan ekonomi dan tadbir urus negara.

“Umpamanya beberapa langkah menyiasat perbelanjaan tinggi hingga RM600 bilion tanpa tender.

“Itu bukan urusan saya, tapi urusan Kementerian Kewangan untuk beri makluman mengenai perbelanjaan itu, tapi kita serahkan kepada badan siasatan untuk sejauh mana pelanggaran rasuah berlaku,” katanya.

Terdahulu, Umno menyokong penubuhan segera RCI bagi menyiasat dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran Muhyiddin.

Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil berkata, siasatan RCI dapat membuktikan ke mana wang digunakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan proklamasi darurat sepanjang Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

Sebelum ini, Pengarah Biro Mobilisasi Amanah, Sany Hamzan turut mendesak penubuhan RCI bagi menyiasat tujuan perbelanjaan digunakan daripada dana kecemasan RM600 bilion ketika tempoh darurat telah membuat laporan polis berkaitan isu berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 30 November lalu. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here