Nurul Huda Abhar
TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan antara figura yang layak mewakili Barisan Nasional (BN) memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi Kerajaan Perpaduan.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata Ahli Parlimen Rembau yang dikenali sebagai Tok Mat itu adalah calon yang paling sesuai bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kerana berpengalaman luas dalam politik negara.
“Kerana beliau (Mohamad) Timbalan Presiden Umno dan seorang ahli politik yang berpengalaman.
“Beliau pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan. Jadi beliau adalah pilihan utama untuk jawatan TPM kerana mungkin Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak berada dalam Kabinet,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.
Menurut Mohd Izani, dalam Umno sendiri mempunyai jawatan Naib Presiden yang kini dipegang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
“Tetapi Ismail Sabri sebelum ini sudah menjadi Perdana Menteri. Tidak mungkin beliau turun pangkat jadi TPM.
“Jadi yang saya nampak calon yang paling sesuai adalah Datuk Mohamad Hasan,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diberikan kepada BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Beliau dalam sidang media berkata, ia kerana BN dan GPS adalah teras kekuatan kerajaan perpaduan pimpinannya.
Kata Anwar, memandangkan jawatan Perdana Menteri telah disandang Pakatan Harapan (PH) selaku komponen terbesar, jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diberikan kepada rakan gabungannya.
Sementara itu, mengulas berkenaan calon Timbalan Perdana Menteri dari GPS, Mohd Izani berkata Datuk Seri Fadillah Yusof adalah calon yang layak memegang jawatan itu.
Katanya, Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), itu mempunyai banyak pengalaman dalam Kabinet dan kerajaan.
“Jadi beliau amat sesuai dicalonkan sebagai TPM bagi mewakili Sabah dan Sarawak,” katanya. – Malaysiapost

