POLIS berjaya merampas 41 kilogram (kg) dadah jenis heroin yang dianggarkan bernilai lebih RM500,000 dalam serbuan terhadap sebuah kenderaan di tepi jalan berhampiran kediaman di Kampung Kubu Gajah Dalam, Sungai Buloh pada Selasa lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim, berkata serbuan jam 5 petang itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur bersama JSJN Bukit Aman dalam operasi khas dinamakan Op Snowshoe.
Menurutnya, dalam operasi berkenaan lelaki tempatan berusia 34 tahun itu dikesan berada dalam sebuah kenderaan jenis Honda CRV dan telah ditangkap ketika di tepi jalan berhampiran sebuah rumah di kawasan terbabit.
“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan terbabit telah menjumpai tiga kotak berisi 90 bungkusan dadah dipercayai heroin seberat 41kg dianggarkan bernilai RM550,000.
“Ketika ditahan suspek dipercayai sedang menunggu pelanggan mendapatkan dadah berkenaan. Sindiket ini dikesan bergerak aktif sejak tiga bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bekalan dadah jenis heroin itu dipercayai diproses di sekitar Lembah Klang dan pihak JSJN masih menyiasat untuk mendapatkan saki baki ahli sindiket berkenaan.
“Suspek yang masih bujang ini tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod narkotik atau jenayah dan ujian saringan air kencing juga negatif,” katanya.
Menurutnya, dadah yang dirampas adalah untuk pasar sekitar Lembah Klang dan mampu menampung penggunaan lebih 80,000 pengguna dadah.
“Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 29 November ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Malaysiapost

