Anwar pertimbang jadi Menteri Kewangan

0
1

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan akan memegang portfolio Menteri Kewangan bagi mengecilkan saiz Kabinet di bawah pentadbirannya.

Anwar berkata, beliau akan meneliti perkara itu sebelum memutuskan pelantikan bagi portfolio berkenaan.

“Kami akan meneliti semua kemungkinan. Bagaimanapun, setakat ini saya belum mempertimbangkannya,” katanya seperti dilapor Utusan Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai solat Jumaat di Masjid Putra, hari ini.

Jelas Anwar, buat masa ini, keputusan mengenai jawatan menteri itu belum diputuskan lagi.

Ditanya mengenai pengalaman hari pertamanya sebagai Perdana Menteri, Anwar berkata, beliau akui sibuk dengan pelbagai isu yang perlu diselesaikan, meskipun baru beberapa jam memulakan tugasan rasmi.

“Bagus, sibuk dan dibebani dengan pelbagai isu yang perlu diselesaikan,” katanya.

Terdahulu, Anwar pada sidang media pertamanya malam tadi mengesahkan akan mewujudkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri yang bakal diisi wakil daripada Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 dengan sokongan tiga gabungan utama itu Pakatan Harapan (PH), BN dan GPS.

Ia turut disertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan (Warisan), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Bebas. – Malaysiapost

Kredit foto: Awani

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here