SEORANG lelaki dilaporkan mengamuk dengan menggunakan sebilah sabit dalam kejadian di sebuah pejabat syarikat e-hailing di Sungai Way, Petaling Jaya semalam.
Lelaki berusia 24 tahun itu dipercayai mengamuk selepas mengalami tekanan kerana gagal menjawab ujian untuk mendapatkan lesen kenderaan e-hailing.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 37 tahun pada jam 3.40 petang semalam mengenai kejadian itu.
“Hasil siasatan awal mendapati semasa kejadian, suspek memegang sebilah sabit bersaiz 14 sentimeter panjang dan merosakkan harta milik syarikat berkenaan.
“Tiada kecederaan yang dilaporkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, lelaki terbabit berjaya ditahan di bangunan syarikat e-hailing terbabit dan berdasarkan soal siasat awal, suspek mengaku terbabit dalam kejadian berkenaan.
“Hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah.
“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya dan dibenarkan ditahan reman selama empat hari sehingga Ahad ini bagi siasatan lanjut,” katanya. – Malaysiapost

