BEKAS Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali meminta semua parti dan pemimpin politik berdamai dan memberi fokus kepada usaha membina negara secara bersama.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, dalam politik tidak mustahil musuh pada masa ini kemungkinan akan menjadi rakan di kemudian hari kelak.
“Sarungkan ‘pedangmu’. Sebab itulah jangan terlalu ekstrem berpolitik. Besederhana pada sayang dan benci. Usah diserang individu dan peribadi.
“Dalam politik, musuh hari ini mungkin adalah rakan keesokkannya kerana ia hanyalah ‘musuh berpolitik idea’, bukannya musuh memecahkan saudara,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, sudah cukup untuk parti politik bersengketa, kini sudah tiba masanya untuk memberi fokus terhadap membangunkan negara.
“Berbeza dan berselisih hanya pada idea dan pandangan. Jangan diputuskan persaudaraan. Jangan londeh-melondeh. Jangan gelar-menggelar dengan gelaran buruk.
“Sarunglah kembali pedang dan keris. Pilihanraya pun telah berakhir. Mari kita membina kembali negara secara bersama. Bersatulah, moga negara tercinta kita ini diberkati Allah,” katanya.
Semalam, selepas lima hari Parlimen tergantung yang menyebabkan ketidaktentuan politik, akhirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. – Malaysiapost

