DAP sokong Anwar sejak 24 tahun lalu – Kit Siang

0
1
https://www.facebook.com/35787761072/photos/pb.100044336560741.-2207520000../10157965189016073/?type=3

DAP memberi komitmen penuh selama 24 tahun dalam menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak beliau dipecat daripada Kabinet pada 2 September 1998.

Veteran DAP Lim Kit Siang, berkata sokongan itu bermula sejak Anwar yang kini Perdana Menteri Malaysia ke-10 memulakan kempen reformasinya untuk membawa perubahan demi sebuah Malaysia yang lebih baik.

Mengimbau kembali mengenainya, Kit Siang berkata beliau menghubungi Anwar ketika itu untuk bertanya sama ada terdapat sebarang asas untuk dihadapinya.

“Apabila dia nafikan, saya maklumkan yang DAP akan menyokong Anwar sepenuhnya.

” 24 tahun yang lepas merupakan satu tempoh yang amat panjang. Walaupun dengan pelbagai cabaran, termasuk dipenjarakan dua kali dan penantian 22 bulan untuk memegang amanah rakyat, Anwar tidak pernah tunduk dengan cabaran.

“DAP pula terus berpegang teguh terhadap komitmen yang dibuat pada September 1998,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ketika Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, semalam, beliau segera mengucapkan tahniah kepadanya.

“Anwar menelefon saya untuk mengucapkan terima kasih dan saya mengambil peluang untuk memberitahunya yang tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 adalah untuk menjadikan Malaysia hebat semula,” katanya.

Kit Siang berkata, Malaysia memerlukan seorang pemimpin baharu yang mampu untuk memimpin negara menjadi terkenal di seluruh dunia dalam perkara yang baik, bukan terkenal sebagai ‘kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk’ sebelum ini.

“Negara kita telah tertinggal di belakang, dari cita-cita asalnya untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, sebaliknya menjadi hanya sebuah negara pertengahan yang biasa sahaja selepas enam dekad.

“Tugas Anwar baru sahaja bermula, untuk menyatukan sebuah negara yang terpisah yang diancam polarisasi masyarakat berasaskan kaum dan agama, untuk membangkitkan Malaysia dari sebuah kleptokrasi kepada salah satu negara yang terbaik dari segi perang melawan rasuah dan salah guna kuasa.

“Anwar layak menerima sokongan semua rakyat Malaysia untuk menjadikan negara kita hebat dan tersohor di persada dunia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here