Pas sudah pusing? – Asyraf Wajdi

0
1

KETUA Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan kenyataan PAS yang mengatakan bersedia membincangkan tawaran untuk menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, tindakan PAS itu seolah-olah ingin meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu bersendirian selepas gagal membentuk kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Pas sudah pusing? Terus tinggalkan PN dan PPBM (Bersatu) terkontang-kanting sorang-sorang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut berkongsi kenyataan media PAS mengenai perkara itu yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan

Dalam kenyataan itu, Takiyuddin memaklumkan PAS akur dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong melantik Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10, semalam.

Menurutnya, parti itu menerima dengan reda dan hati terbuka terhadap segala ketentuan berkenaan, selain yakin ia mempunyai hikmah daripada Allah SWT.

Mengulas mengenai tawaran Perdana Menteri untuk PN menyertai Kerajaan Perpaduan, beliau berkata, PAS akan membincangkan perkara itu dengan rakan-rakan komponen dalam gabungan tersebut dalam tempoh terdekat.

“Di samping itu kita turut meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya pengundi yang telah memberikan undi yang amat memberangsangkan kepada PAS dan PN dalam PRU-15 yang lalu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here