PM bincang kecilkan saiz Kabinet, kurangkan gaji menteri

0
1

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan Perpaduan pimpinannya akan menyaksikan pembentukan saiz Kabinet yang lebih kecil.

Menurutnya, beliau juga akan mengusulkan supaya gaji menteri dalam Kabinet kerajaan perpaduan akan dikurangkan susulan perkembangan situasi ekonomi kini.

“Saiz Kabinet kecil dan saya minta supaya ahli Kabinet baharu bersetuju dengan usul saya untuk kurangkan gaji mereka.

“Tapi ini dalam proses perbincangan dan persiapan,” katanya ketika sidang media pada hari pertama Anwar bertugas sebagai Perdana Menteri ke-10, hari ini.

Mengulas berkenaan pembentukan Kabinet, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu bagaimanapun berkata ia akan diselesaikan sesegera mungkin.

Sementara itu, Anwar turut menegaskan akan memberi fokus terhadap isu kos sara hidup, khususnya berkaitan harga barangan yang semakin menekan kehidupan rakyat ketika ini.

Ujarnya, beliau akan mengadakan pertemuan segera dengan jabatan dan agensi berkaitan untuk membincangkan perkara berkenaan, selewat-lewatnya Isnin ini.

“Keutamaan saya sekarang ialah kos sara hidup walaupun ada yang positif, umpamanya kekuatan ringgit dan soal bursa saham yang lebih positif sekali gus menunjukkan keyakinan terhadap pentadbiran sekarang.

“Namun, saya masih berasa keutamaan harus diberikan terhadap kos sara hidup dan harga barangan yang mencengkam dan menekan kehidupan rakyat.

“Saya akan mengadakan pertemuan segera dengan jabatan dan agensi berkenana dalam masa terdekat dan jika tidak keberatan mohon adakan pertemuan hujung minggu atau Isnin ini,” katanya lagi.

Semalam, Anwar yang juga Presiden PKR mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada jam 5 petang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here