Kerajaan Perpaduan sudah capai sokongan dua pertiga – PM

0
1

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan perpaduan sudah mencapai sokongan dua pertiga susulan keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersetuju menyertai pentadbirannya.

Beliau berkata, persetujuan menyertai kerajaan perpaduan itu telah dinyatakan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Ada satu hal yang berkaitan dengan kedudukan kerajaan perpaduan ini, Datuk Hajiji telah memaklumkan bahawa GRS juga secara rasmi menyertai kerajaan perpaduan.

“Ini bermakna kekuatan yang diumumkan semalam termasuk GRS,” katanya ketika sidang media pada hari pertama Anwar bertugas sebagai Perdana Menteri ke-10.

Semalam, Anwar dalam sidang media menegaskan kerajaan perpaduan nasional sudah membabitkan penyertaan tiga komponen utama setakat ini.

Beliau berkata, soal kestabilan tidak berbangkit kerana gabungan kerajaan yang baharu membabitkan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya, walaupun memiliki 139 kerusi setakat ini, beliau tidak menolak penyertaan parti lain dalam kerajaan perpaduan.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata kerajaan perpaduan pimpinannya kini telah mencecah sokongan dua pertiga, telah bersedia mengukuhkan kestabilan negara.

“Sekarang dengan sokongan GRS menunjukkan bahawa kita hampir mencecah dua pertiga sokongan ahli parlimen yang akan memperkukuhkan kestabilan politik negara dan menumpukan perhatian dalam kerja-kerja kita.

“Jadi dengan ini kerajaan perpaduan boleh mengangkat martabat negara, mengukuhkan ekonomi dengan maksud membela nasib negara,” katanya.

Semalam, Anwar yang juga Presiden PKR mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here