AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, dan bekas Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berjanji perjuangan berkhidmat untuk rakyat tidak berhenti walaupun tewas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Reezal Merican dan Tengku Zafrul masing-masing bertanding di Parlimen Kepala Batas dan Kuala Selangor mewakili Barisan Nasional (BN) terbuka menerima pilihan rakyat dalam PRU15.
Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta bekas Menteri Kewangan itu juga mengambil kesempatan meluangkan masa bersarapan bersama di sebuah restoran, hari ini.
“Pagi ni bersarapan bersama Tengku Zafrul di tempat biasa kami di Bangsar. Restoran ini memang menjadi pilihan kami selalu sarapan, sebab dua-dua suka makan tosei di sini. Cuba teka kami makan di mana?
“Kami berborak tentang pengalaman pilihanraya lepas. Sambil berborak, ada pelanggan lain datang tegur sapa kami bertanyakan perkembangan semasa.
“Walaupun keputusan PRU15 tidak memihak kepada kami, Insya-Allah khidmat kami buat keluarga Kepala Batas dan Kuala Selangor tidak akan terhenti sini. Apa jua keperluan akan diusahakan dengan kapasiti baharu ini,” katanya dalam hantaran Facebook.
Pada PRU15, Reezal Merican tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Siti Mastura yang memperoleh majoriti sebanyak 2,867 undi.
Siti Mastura memenangi kerusi Kepala batas dengan mendapat 28,604 undi, manakala Reezal Merican memperoleh 25,737 undi.
Sementara Tengku Zafrul tewas dengan calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang mempertahankan kerusi Kuala Selangor majoriti 1,002 undi.
Dr Dzulkefli memperoleh 31,033 undi, manakala Tengku Zafrul meraih 30,031 undi. – Malaysiapost

