SERAMAI 10 individu yang dipercayai ejen ‘bookie’ pertaruhan kejohanan Piala Dunia Qatar 2022, berjaya ditahan dalam Op Soga IX yang dijalankan Polis Johor sejak Isnin lalu hingga semalam yang membabitkan nilai pertaruhan mencecah RM1.059 juta.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata kesemua suspek berusia antara 22 hingga 43 tahun itu ditahan dalam 10 serbuan di negeri berkenaan bagi membanteras aktiviti perjudian dan pertaruhan membabitkan kejohanan Piala Dunia berkenaan.
“Had nilai kredit keseluruhan mencecah sehingga RM1,059,786 manakala wang tunai yang dirampas berjumlah RM9,730.

“Turut dirampas 10 telefon bimbit termasuk kad sim dan sebuah buku memo yang mempunyai catitan disyaki pertaruhan Piala Dunia Qatar 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kesemua tahanan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(3), Seksyen 6(1) dan Seksyen 4(1)(d) Akta Pertaruhan 1953.
Beliau berkata, kejayaan operasi berkenaan sebahagian besarnya adalah hasil risikan dijalankan Polis Johor dan aduan serta maklumat diterima daripada pihak awam.
“Sekiranya terdapat sebarang maklumat kegiatan perjudian, orang ramai boleh menyalurkannya kepada Balai Polis berhampiran atau Bilik Gerakan Polis Johor di talian 07-2254677,” katanya. – Malaysiapost

