DAP memohon maaf secara terbuka kepada pemimpin Kerajaan Sarawak dan rakyat negeri berkenaan sekiranya ada pemimpin parti itu pernah mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan.
Permohonan maaf itu dibuat Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menerusi kenyataan dimuat naik dalam Facebook, hari ini.
Tindakan berkenaan susulan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg di kediaman beliau di Kuching hari ini.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Prof Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
Menurut Anthony Loke, pertemuan itu berlangsung dengan mesra yang disusuli perbincangan antara kedua-dua pemimpin.
“Saya telah memaklumkan kepada Abang Johari bahawa sekiranya terdapat apa-apa kenyataan yang pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin DAP yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat Sarawak, saya mewakili pihak DAP untuk memohon maaf secara terbuka,” katanya.
Anthony turut berharap pertemuan tersebut akan membuka satu lembaran baru untuk membina persefahaman dan kerjasama demi negara Malaysia yang lebih maju dan progresif.
Permohonan maaf itu seolah-olah menjadi petunjuk bahawa Pakatan Harapan (PH) akan membentuk kerajaan campuran termasuk GPS yang dipimpin oleh Abang Johari.
Sebelum ini media melaporkan terdapat pemimpin DAP dapat mengeluarkan kenyataan yang menguris hati pemimpin GPS.
Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen antaranya, percaya mustahil untuk mengharapkan GPS bekerjasama dengan PH selepas PRU-15.
Beliau berkata, ini kerana parti komponen GPS pernah menganggotai Barisan Nasional (BN) hingga 2018.
Tegasnya, mengundi untuk GPS bersamaan memberi undi kepada Umno.
PH memerlukan kerjasama daripada GPS dan BN bagi mendapatkan majoriti untuk membentuk kerajaan. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Anthony Loke

