BEKAS Timbalan Ketua Bahagian Umno Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz membuat laporan polis berhubung surat sokongan tular yang dikatakan dihantar ke Istana Negara.
Tun Faisal meminta polis menyiasat kandungan surat dengan berkepala surat Barisan Nasional (BN) yang dikatakan cubaan menipu dan menghina Yang di-Pertuan Agong oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, jika benar ada cubaan menipu Yang di-Pertuan Agong dalam isu sokongan 30 Ahli Parlimen BN terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10, beliau berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan.
“Memang patut surat itu disiasat sebagai cubaan menipu dan menghina Yang di-Pertuan Agong.
“Beliau patut berasa malu dengan tindakan berulang kali terhadap Yang di-Pertuan Agong, cuma dulu kita tidak membuat laporan polis,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, petang tadi.
Dalam pada itu, Tun Faisal juga berharap Majlis Kepemimpinan Tertinggi (MKT) Umno dapat mengusulkan untuk tindakan disiplin terhadap Ahmad Zahid kerana melanggar dan membelakangkan keputusan parti untuk tidak menyokong mana-mana pihak serta mengambil pendirian berkecuali.
Sehubungan itu, katanya, beliau akan membuat aduan kepada MKT Umno dalam masa terdekat.
Beliau juga mahu supaya Ahmad Zahid melepaskan jawatan sebagai Presiden parti dan bertanggungjawab terhadap kandungan surat yang tular itu.
“Hari ini, beliau sudah membelakangi bukan saja keputusan Dewan Tertinggi BN tetapi keputusan MKT iaitu ‘No Anwar, No DAP’,” katanya.
Tun Faisal yang kini menjalani hukuman digantung keahlian Umno selama enam bulan, juga berhasrat untuk merayu semula keputusan Lembaga Disiplin itu berikutan ia ada kaitan dengan pendedahannya mengenai sokongan Ahmad Zahid terhadap Anwar, sebelum ini. – Malaysiapost

