MESYUARAT Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam ini tidak ada membincangkan mengenai agenda pemecatan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sebaliknya, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ia hanya membincangkan tawaran daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mengenai kerjasama pembentukan kerajaan.
“Tidak ada agenda untuk desak Presiden letak jawatan,” katanya ketika ditemui media di pintu masuk Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam ini.
Jelas Asyraf Wajdi, Umno akan meneliti tawaran dan syarat dikemukakan kedua-dua gabungan itu dan paling penting titah Yang di-Pertuan Agong supaya membentuk kerajaan Perpaduan demi rakyat dan kemakmuran negara.
BN yang memenangi 30 kerusi sebelum ini mengadakan mesyuarat bersama PH dan BN selepas pihaknya kalah teruk dan kedua-dua gabungan itu gagal mendapatkan majoriti untuk membentuk lerajaan.
Rundingan antara BN-PH berlangsung di Seri Pacific Isnin lalu manakala pertemuan dengan pemimpin PN pula diadakan hari ini di St Regis. – Malaysiapost

