‘Mana ada curi 10 Ahli Parlimen BN, mereka beri secara rela hati’ – Wan Ahmad Fayhsal

0
1

PERIKATAN Nasional (PN) menafikan mencuri 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), sebaliknya mereka secara sukarela menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata adalah menjadi hak setiap ahli Dewan Rakyat yang menang pilihan raya untuk memberi sokongan kepada mana-mana calon Perdana Menteri.

“Mana ada istilah curi, tipu nak dapat akuan bersumpah! Mereka beri secara rela hati.

“Yang menipu adalah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, tipu parti sendiri dan tipu Yang di-Pertuan Agong.

“Ittaqullah Datuk Dr Asyraf Wajdi! Di mana sifat rujulah kamu dalam melawan kemungkaran Zahid Hamidi,” soal beliau dalam hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, Asyraf Wajdi yang juga Ketua Pemuda Umno memuji kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat ‘gentlemen’ berhubung kerjasama dengan BN berbanding PN yang senyap-senyap mencuri 10 Ahli Parlimen parti itu untuk menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal membidas Asyraf Wajdi kerana bukan sahaja membisu seribu bahasa, tetapi juga bersikap bacul untuk menegur Ahmad Zahid yang menipu BN apabila menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Yang dia sampai hari ini membisu seribu bahasa ialah bacul menegur Zahid yang jelas menipu Dewan Tertinggi BN dan ahli-ahli Parlimen BN yang jelas menolak Anwar dan DAP dalam membentuk kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here