SENARIO semasa yang berlaku antara Barisan Nasional (BN) Sabah dan GRS sepatutnya tidak menjadi kalut, sebaliknya semua pihak perlu terus mengekalkan perpaduan.
Ketua Penerangan BN Sabah, Datuk Raime Unggi berkata apa yang lebih baik semua pemimpin, ahli atau penyokong kedua-dua gabungan mengambil langkah bertenang dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang mampu mengguris hati.
Beliau berkata, kedua-dua pimpinan sudah bersuara dan ada baiknya menanti setiap perkembangan melibatkan kedudukan semasa di ibu negara sebelum membuat keputusan.
“Bagi kami di BN Sabah, akur setiap keputusan diambil oleh pusat namun dalam masa sama mengambil pendekatan terus bermuafakat dengan gabungan yang ada.
“Soal siapa sokong siapa, biarlah peringkat atasan yang membuat keputusan,” katanya.
Raime turut bersetuju dengan kenyataan Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai yang meminta semua pihak bertenang dan lebih memberi fokus kepada kebajikan rakyat Sabah.
“Memang keadaan agak ‘panas’ di Kuala Lumpur yang turut melibatkan beberapa pemimpin kita yang menang Parlimen pada PRU15 baru-baru ini.
“Tetapi saya percaya dengan kemuafakatan yang ada, kita boleh elak sebarang konflik yang mungkin digembar-gemburkan sesetengah pihak untuk menyatakan gabungan ini sedang bertelagah.
“Jadi atas semangat setiakawan, saya berharap sekiranya membuat sebarang kenyataan, ia perlu dirujuk kepada kedua-dua pihak terlebih dahulu kerana senario semasa ini memaksa kita mendiamkan diri, ” katanya.
Baru-baru ini, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin membidas kenyataan Ketua GRS, Datuk Seri Hajiji Noor yang mendedahkan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada pasca PRU15.
Sambil menyifatkan ia seolah mengistiyarkan perang kepada BN Sabah, kenyataan Bung Moktar kemudian disangkal Hajiji dengan menyatakan ia tidak bermaksud sedemikian, sebaliknya mendakwa perjanjian yang dibuat tidak sah memandangkan BN telah kalah dalam PRU15.
Hajiji bagaimanapun berharap BN Sabah terus sudi berkerjasama dengan GRS mentadbir Sabah dalam mengekalkan momentum pentadbiran kerajaan yang diterajui bersama. – Malaysiapost

